Khamis, 20 November 2014

5 Aktiviti Harian Semasa Cuti Sekolah


Tinggal sehari sahaja lagi sesi persekolahan bagi tahun 2014 akan berakhir. Anak-anak pelajar akan bercuti panjang sebelum melangkah ke sesi persekolahan pada tahun hadapan.
Sekarang ini pastinya para ibu bapa sedang merangka dan merancang aktiviti berfaedah untuk anak-anak mereka sepanjang cuti sekolah. Ada yang merancang percutian sama ada di dalam atau luar negara, ada yang mahu balik ke kampung halaman, ada yang telah mendaftar dengan kem-kem cuti sekolah, kem-kem tahfiz dan sebagainya.
Bercuti ke, pergi kem ke, balik kampung ke, tidaklah sepanjang cuti kan? jadi, bagaimana pula dengan aktiviti harian? Tanpa perancangan, cuti sekolah anak-anak mungkin hanya akan dipenuhi dengan menonton televisyen dan bermain sahaja.
Saya kongsikan di sini 5 perancangan aktiviti harian semasa cuti sekolah untuk anak-anak saya sementara menunggu ayah mereka dapat mengambil cuti untuk kami balik kampung dan bercuti.
1. Gotong royong membersihkan ruang belajar dan bilik tidur
Bila sesi persekolahan berakhir, pastinya banyak buku-buku dan nota-nota lama yang perlu diasingkan bagi memberi laluan kepada buku-buku baru untuk sesi persekolahan akan datang. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk anak-anak bergotong royong bersama adik beradik yang lain untuk membersihkan ruang belajar masing-masing.
Anak-anak saya mempunyai ruang belajar di dalam bilik masing-masing. Maka sambil membersihkan ruang belajar, saya akan ambil kesempatan tersebut untuk memastikan mereka mengemaskan keseluruhan bilik tidur itu sendiri.
2. Bercucuk tanam
Saya merancang untuk mewujudkan program pokok angkat kepada anak-anak untuk menerapkan lebih semangat ‘go green’ dalam diri mereka. Tak perlu banyak, cukup sepasu seorang. Untuk projek ini saya perlu mengeluarkan modal membeli tanah berbaja dan biji benih, tetapi hanya akan menggunakan bekas-bekas terbuang sebagai pasu kitar semula.
Sebenarnya, saya sangat teruja untuk projek pokok angkat ini. Saya mahu lihat bagaimana anak-anak saya menjalankan tanggungjawab terhadap pokok-pokok mereka. Agak-agak, perlu diingatkan atau tidak waktu siram pokok? Kita tunggu dan lihat.
3. Pergi perpustakaan awam
Selangkah ke perpustakaan, sejuta pengetahuan. Cuti sekolah bukan bermakna masa untuk melupakan buku-buku. Ambil kesempatan sekurang-kurangnya setengah hari untuk anak-anak beraktiviti di sana. Ada banyak pilihan buku yang boleh dibaca.
Saya akan pastikan mereka akan membawa sebuah buku nota dan pen untuk mencatat perkara baru yang mereka perolehi dari bahan yang mereka baca.
4. Program masuk dapur
Anak-anak saya suka makan, pasti berulang alik masuk dapur akan menjadi aktiviti yang paling kerap. Maka saya merancang untuk membuat aktiviti memasak yang boleh melibatkan mereka.
Mungkin buat sandwich ringkas, atau buat sendiri aiskrim Malaysia, boleh juga menguli tepung dan menerap biskut. Saya sudah terbayang-bayang keseronokan ini. Wah, saya sebagai ibu pula yang teruja.
5. Merancang aktiviti kejutan
Berada di rumah sepanjang hari hanya bersama ibu, pastinya anak-anak tertunggu-tunggu kepulangan ayah mereka pulang dari kerja. Apa kata kita buat sedikit kejutan untuk ayah bila balik kerja.
Beri peluang untuk anak-anak berfikir sendiri, kejutan apa yang mereka boleh buat. Tetapi sebagai ibu kita boleh beri sedikit hint, mungkin sediakan minum petang untuk ayah dengan biskut buatan mereka sendiri. Pasti menarik!
Alhamdulillah, itulah dia 5 aktiviti harian yang saya rancang untuk anak-anak saya sepanjang cuti sekolah ini. InsyaAllah, selain mengulang beberapa kali aktiviti-aktiviti tersebut saya akan fikirkan lagi apa aktiviti yang sesuai untuk mereka. Harap-harap ayah mereka akan dapat cuti yang panjang untuk aktiviti balik kampung dan percutian kami.
Ibu-ibu, mari kita bersiap sedia fizikal dan mental menghadapi kerenah anak-anak sepanjang cuti sekolah. Semangat!!

1 ulasan:

  1. bila anak cuti sekolah..ibu terlebih sibuk dari biasa kan..sibuk uruskan jadual harian semasa mereka cuti pula..

    BalasPadam

Terima kasih meninggalkan jejak di sini :D