Hari ini saya menghadiri Bengkel Nutrisi yang dianjurkan oleh sebuah syarikat peneraju vitamin semulajadi terulung di dunia. Wah! Kedengaran gah ya syarikat itu? Program hari ini diadakan di Hotel Berjaya Time Square dengan peserta hampir 200 orang yang majoritinya adalah wanita.
Tetapi bukan itu yang saya ingin fokuskan, tetapi kekaguman saya terhadap beberapa orang ibu yang membawa anak-anak kecil ke program tersebut. Anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa, mereka hanya tahu gembira, bermain, berlari-lari dan menangis bila lapar atau rasa tidak gembira.
Malah lebih mengkagumkan saya, ibu-ibu ini berjaya bertahan dari pagi hingga petang. Mereka berjaya menamatkan bengkel dengan jayanya tanpa meletakkan anak-anak kecil itu sebagai alasan untuk balik awal.
Dalam hati saya terdetik, jika saya ditempat mereka belum tentu saya sesabar itu. Di sebalik kekaguman saya, saya curi-curi memerhatikan ibu-ibu ini. Ya, curi-curi sahaja sebab saya juga perlu fokus dengan ilmu nutrisi yang mahu saya timba..
Di sebalik curi-curi pandang saya, saya belajar sesuatu dari mereka. Saya perhati tindak tanduk mereka terutama yang duduk atau berada berhampiran saya. Mari saya kongsikan apa yang saya nampak, tokok tambah dengan pengalaman sendiri, dan saya catatkan di sini sebagai Tips Membawa Anak Kecil Ke Majlis Ilmu.
1. Biasakan membawa anak ke majlis ilmu sejak kecil agar lebih terbiasa dengan persekitaran majlis ilmu. Anak-anak yang dibiasakan dengan majlis ilmu sejak kecil akan lebih cintakan ilmu dan dapat dibentuk lebih awal untuk menghormati majlis.
2. Datanglah lebih awal dan pilih tempat duduk yang sesuai agar dapat menuntut ilmu dan pada masa yang sama mengawasi anak masing-masing.
3. Sekiranya anak masih menyusu badan pastikan ibu memakai pakaian yang sesuai untuk menyusu dan pakailah tudung labuh atau membawa 'nursing cover' supaya mudah menyusukan tanpa perlu keluar dari majlis ilmu
4. Untuk anak yang masih bayi pastikan ada tempat yang sesuai untuk mereka tidur, kerana bayi memerlukan masa tidur yang cukup. Ibu bapa boleh membawa tilam nipis atau kain untuk alas tidur. Boleh juga membawa bersama kereta sorong bayi bergantung pada kesesuaian tempat berlangsung majlis ilmu.
5. Bawa bersama keperluan anak seperti tuala kecil, tisu kering dan basah, lampin pakai buang, pakaian, keperluan menyusu sekiranya tidak lagi menyusu badan, serta air dan makanan, lebih-lebih lagi jika majlis ilmu dibuat dalam tempoh yang panjang.
6. Bawa bersama mainan atau barangan kegemaran mereka agar mereka lebih tenang dan mahu duduk diam. Elakkan membawa mainan atau gejet yang berbunyi agar tidak menggangu perjalanan majlis.
7. Bawa bersama pen dan buku nota untuk mereka agar anak-anak boleh sama-sama menulis (atau menconteng) semasa ibu bapa mencatat apa yang dipelajari.
8. Sekiranya membawa lebih dari seorang anak, bawalah pembantu untuk menjaga anak-anak. Hadir bersama pasangan adalah satu kelebihan.
Sekadar gambar hiasan sumber dari Google
Semoga Tips Membawa Anak Kecil Ke Majlis Ilmu yang dikongsikan ini membawa manfaat kepada semua terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Semoga dengan tips ini kita lebih bersemangat untuk menuntut ilmu dan tidak lagi menjadikan anak kecil sebagai alasan untuk tidak hadir majlis ilmu.
Sekiranya ada sebarang tips tambahan, jangan malu-malu kongsikan bersama pembaca yang lain. Hanya tinggalkan di ruangan komen dan saya akan masukkan dalam penulisan ini sekiranya sesuai.
Salam sayang
Zefa Nor Asmara Jubir
Pengurus Online Akademik Bekerja Di Rumah
tq for sharing kak
BalasPadam